Tuesday 22 March 2016

Coret 3

Sedang dalam perjalanan menuju ke kelas di huquq 106, tiba-tiba disapa seorang sahabat yang lampai di depan kelas(dialog ditulis secara tidak formal supaya lebih 'hidup' dan tidak menipu diri sendiri dengan menulsi ayat-ayat soleh):


"Waqi, meh sini jap." sambil menarik aku ke sudut di tepi tingkap.

"Haa, apa dia Cap?"

"Kalau aku nak tempah Pentas Mahasiswa kena kontek dengan sape eh?"

"Kau kontek je dengan Baz(PIC). Kenapa Cap? Nak buat apa?"

"Aku nak adakan satu talk pasal isu yang mula panas balik semenjak dua menjak ni. Ada pelajar-pelajar Tahun 1 yang jumpa aku cakap ada abang-abang yang tak kasi pergi kelas dengan senior ni dan yang tu pulak cakap jangan pergi kelas yang ni. Jadi aku nampak mende ni makin kritikal, kau faham kan?"

"Faham je Cap. Bagus sangat la kalau gitu. Kau cuba kontek dengan Baz, insyaAllah boleh ejas."

Berhenti di situ kerana ingin bergegas ke kelas.

*********************************************************************************

Empat atau lima hari sebelum, seorang lagi sahabat merangkap abang bukan kandung di Jordan, seorang yang kemahirannya di dalam menghasilkan video-video, bermula dariapada rakaman pemandangan di musim salji, rakaman akhir program hinggalah filem-filem pendek yang menyentuh tema-tema lain yang punya mesej untuk disampaikan kepada penonton. Beliau menyampaikan hasrat hatinya yang ingin menghasilkan satu filem pendek dalam masa yang terdekat. Apabila ditanya tema apa yang ingin diangkat dalam filem pendek kali ini, beliau menjawab lebih kurang begini: "Ana nak sentuh pasal situasi kita sekarang, pasal dua belah pihak duk tahzir(Semacam beri amaran supaya yang mendengar lebih berhati-hati dengan golongan yang ditahzirkan) satu sama lain ni."

*********************************************************************************

Kalian nampak tak apa persamaan dua sahabat di atas? Begini, seperti yang kalian baca di atas, mereka berdua ada membicarakan satu situasi komuniti kami yang belum pernah selesai yang sekali-sekala panas dan kadang-kala sejuk kembali. Tidak ingin saya ceritakan lebih lanjut berkenaan isu tersebut.

Sejajar dengan itu, mereka mengambil inisiatif untuk menggunapakai kemahiran mereka demi menyumbang sedikit sebanyak dalam meleraikan konflik tersebut. Salah seorang yang mahir 'bermain' kata, berusaha mengadakan perkongsian menggunakan medium umum yang disediakan iaitu Open Talk Mahasiswa(atau nama lamanya: Pentas Mahasiswa) yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di sini. Manakala yang kedua terdetik untuk memanfaatkan kemahirannya menyunting video untuk menghasilkan satu filem pendek yang berkisar tentang peleraian konflik dua aliran tersebut.

Mudahnya begini, mereka cuba memainkan peranan masing-masing dalam 'menyejukkan' atau lebih baik(harapnya) meleraikan terus ikatan konflik yang kelihatan susah benar hendak dileraikan ini dengan menggunapakai bakat yang diberi oleh Yang Maha Pemurah kepada mereka. Adapun konflik ini ingin benar dileraikan oleh kami kerana kami melihat lebih banyak perkara yang perhatian kami perlu ditumpukan padanya. Antara lain yang paling utama, mendekatkan diri kepada al-Khaliq di atas bumi ciptaanNya sementara kita bernyawa dalam hidup yang sementara ini. Dan di pandangan kami, konflik sebegitu tiada sumbangannya kepada kita dalam menuju ke arahNya.

Dengan membaca dua kisah ini,  dapatkah kita bayangkan bagaimana harmoninya masyarakat andai semua daripada kita tahu apa peranan masing-masing dan memainkan peranan tersebut sebaik mungkin? Sepertinya keadaan begitu utopia sekali bukan? Tapi tiadalah mimpi ini mustahil jika kita semua benar-benar jelas akan tujuan kita dicipta di atas bumi ini.

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" (51:56)

"Habistu, apa peranan kau, tulis mende-mende simple camni?" sambil senyum sinis.

Peranan saya mungkin kecil sekali sehingga tidak nampak manfaat wujudnya saya. Tapi mungkin saja timbul kesan andai saya tiada, siapa tahu?

P/s: Masih belum berminat dengan penulisan yang mengemukakan rujukan-rujukan kitab dan sebagainya. Semua yang di atas hanyalah kejadian dalam hidup penulis yang biasa-biasa, di mana daripada kejadian tersebut timbul keinginan untuk menulis berkongsi barang sedikit, moga-moga ada manfaatnya.

22 Mac 2016
Dar 'Aisyah

No comments:

Post a Comment