Monday 24 July 2017

Musuh

Memang! Sentimental memang musuh yang paling ce***a.

Bau tanah yang kering kontang yang hanya setahun semusim disinggahi hujan, bau kedai roti yang dibuka seawal mentari masih ketiduran, aroma kopi Arab yang dibaluti bau falafel yang digoreng dalam minyak panas sepulang daripada Subuh yang kedua-duanya terhasil daripada Mat’am Zumir dan Maqha yang duduknya bersebelahan dan semua bau lain yang membunuh jiwa orang yang bersentimental dengan kenangan lama.

Memang! Sentimental memang musuh yang paling ce***a.

Mu’tah semakin hari semakin kosong dengan Melayu. Jalan-jalan ke tempat utama, bau persekitaran dan hiruk-pikuk pekan hanya membunuh jiwa mereka yang sentimental perlahan-perlahan dalam putaran kenangan. Menjadi pelajar tahun akhir yang sepatutnya paling tua pengalaman telah melukis realiti bahwa tidak ada lagi ‘abang-abang’ untuk memimpin tangan menunjukkan jalan, mengajarkan bahasa juga meriuhkan suasana.

Memang! Sentimental memang  musuh yang paling ce***a.

Kamu boleh bayangkan, hanya dengan bau-bauan yang tidak boleh dilihat apa lagi dipegang, mereka yang sentimental boleh sampai terhenti dan terbayang kenang-kenangan?

Ah! Memang, sentimental memang  musuh yang paling ce***a.

WK, 
Mu'tah, 24 Julai 2017
 .

Friday 5 May 2017

Beranda

Kelmarin, saat senja berserak bangga
kita nikmatinya di beranda
seraya menghitung bersama detik suria
beradu menutup mata.

Tetapi hari ini senja hanyalah masa
buat jemariku terluka
akibat mengangkat kutip keping-keping
lara kegelisahan dan kemurungan
yang terkecai lantaran kau yang memilih untuk mengungsi dan pergi.

WK,
Mu'tah, 5 Mei 2017.



P/s: Esok bakal bermula peperiksaan akhir semester musim bunga. Doakan!

Wednesday 26 April 2017

2 Kemungkinan

Petang atau lebih tepat aku sebut sebagai waktu senja aku sekarang lebih kerap diisi dengan dengan menonton pementasan  terakhir daripada cik Suria yang ditekuni olehnya saban hari, dengan gaya berlainan, tanpa hadir jemu!

Saturday 11 February 2017

Bila kebimbangan kau sudah memuncak benar dan kau hanya ada Tuhan sebagai tempat meletakkan harap, doa-doa yang dibacakan tidak lagi kedengaran suaranya. Hanya bising di dalam hati, ditemani air mata dan diisi harapan.

Hari ini satu lagi mesej masuk di grup daripada kakak yang sulung, menyatakan bahawa setelah  diperiksa oleh Doktor, ibu kami dikatakan terkena penyakit saraf kesan daripada jatuh sakit beberapa minggu lepas. Tapi segala puji bagi Tuhan yang penuh Rahmat, kesan sakit saraf itu hanya terkesan di bahagian muka dan bukannya seluruh badan.

Hati yang masih lagi belum kering dengan kesedihan ini kembali banjir. Saya lebih memilih untuk meluahkan di laman blog ini dengan harapan para pembacanya walaupun hanya satu atau dua orang, mendoakan kesembuhan bagi ibu saya yang saya sangat kasih dan rahmat bagi ibu bapa kita semua. Moga doa kalian yang lebih ikhlas dan dekat dengan Tuhan dimakbulkan.

اللهم يشفيها شفاء عاجلا واللهم ارحم والدينا أجمعين. آمين

Jazakumullah Khoir.