Tuesday 26 January 2016

Perpindahan

Malam semalam, ketika ralit menyusun madah untuk ditasjil keesokan harinya(hari ini), sedang cuaca di luar kehujanan butiran lembut berwarna putih, kakak di kampung menghantar dua tiga keping gambar dan video menunjukkan hakisan pantai yang terletak tidak jauh daripada rumah mencapai kemuncaknya semalam. 

Hakisan yang semakin hari semakin mara dengan berani menghakis semua yang terletak di kawasan pantai. Setakat yang saya tahu, sudah hampir dua tiga buah rumah yang bahagian dapurnya roboh ditarik ke dalam laut termasuk satu kawasan chalet yang roboh sepenuhnya akibat hakisan ini.

Hakisan ini tiadalah penyebab(سب) utamanya yang disebut-sebut melainkan disebabkan oleh kerja-kerja penyedutan pasir bagi menambak laut di sebelah kawasan Seberang Takir dan Tok Jembal untuk menjayakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud(siap beebrapa tahun lepas) dan beberapa lagi projek yang berfungsi sebagai penarik pengunjung ke situ(kebelakangan ini). Rumit untuk aku ceritakan kaitan apakah antara kerja-kerja di atas yang menyebabkan hasil akhirnya hakisan di deret pantai hadapan rumah aku di ruangan ini. Barangkali lebih mudah andai aku ceritakan secara lisan, di lain masa.


Malam semalam fikiran terbang laju pulang ke desa halaman. Apa tidaknya? Mendengar berita yang kami mungkin terpaksa berpindah ke rumah lain andai hakisan terus-terusan begini dan menerima kemungkinan kepulangan ke Malaysia nanti bukanlah ke rumah di mana saya membesar selama hampir 18 tahun, tapi ke rumah yang baru lagi asing. Mungkin ada kata-kata bernada sinis yang berbunyi:
"Mung ni sentimental sangat, orang lain sapa 7-8 kali pindoh hidup je."

Ya, mungkin saya terlalu bersentimental untuk hal ini dan saya tidak berkehajat untuk menafikan sangkaan itu kerana saya memang sedang bersentimental. Kenangan 18 tahun di situ, celah mana tak nak sentimental?

Tapi harapan untuk kekal di situ masih ada insyaAllah berbekalkan doa kepada yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya!
.
Terdetik untuk menaip cerita ini kerana terbayang bagaimana agaknya rasa kita yang bakal berpindah daripada alam yang fana ini ke alam barzakh sebelum ke kediaman abadi kita di Sana kelak. Perpindahan ini bukanlah perpindahan yang sementara tapi ianya yang kekal selamanya.

Tiga sahabiah seperjuangan saya sudah pun mendahului kita ke sana. Moga mereka ditempatkan di kalangan yang mendapat rahmat dan moga meniggalnya mereka beroleh pahala syahid ketika menuntut ilmu.

Doakan proses pemindahahan jenazah daripada Jordan ke Malaysia pada malam ini dan proses pengurusan jenazah di Malaysia semuanya berjalan dengan lancar.

اللهم اغفرلهن وارحمهن وعافهن واعف عنهن"
"اللهم إنا نسألك الشفاء لكل مريض والرحمة لكل ميت

P/s: Segala puji bagi Maha Penyayang atas kemudahan urusan mentasjil(daftar) madah bagi fasal depan sebentar tadi. 






No comments:

Post a Comment