Sunday 27 December 2015

Study Week?

Lama saya fikirkan pendahuluan yang bagaimana yang paling sesuai utnuk mulakan entry kali ni sebagai pemecah tembok kesunyian di laman ini. Bimbang andai pendahuluan tersebut kurang 'umph' kalau biasa-biasa sahaja, dan terbayang pembaca melabel saya sebagai poyo andai pendahuluan terlebih 'perisanya'.


Jadi akhirnya, bicara tentang pendahuluan itu yang saya pilih sebagai pendahuluan entry kali ini, dengan harapan penuh ianya akan dianggap lebih moderat dan dekat dengan hati kalian para pembaca. Be it smooth.

Jujurnya, tujuan saya menulis entry kali ini tiada lain agar kemalasan menulis saya tidak 'istiqomah' hingga ke akhir cuti fasal awal.

Untuk pengetahuan semua, waktu sekarang ialah tempoh yang dipanggil 'study week' dalam kalangan mahasiswa, yang mana tempoh ini merupakan satu tempoh masa tertentu bagi kami  membuat persedian untuk menghadapi imtihan nihaie(ujian akhir sem). Tempoh ini SEPATUTNYA menjadi satu peluang bagi kami, pelajar, untuk betul-betul bersedia sebelum duduki imtihan nihaie. Tapi bagi saya, fatrah 'study week' di Jordan ini merupakan fatrah paling getir dalam kehidupan seorang mahasiswa dalam satu-satu fasal(baca: semester) terutama fasal awal yang berada di dalam musim shita'(sejuk). Fatrah 'study week' inilah yang akan menyebabkan kami kehilangan momentum untuk berperanan sebagai penuntut ilmu.

Dengan suhu yang kadang-kala 'tidak mesra' Malizi, ada yang lebih memilih untuk berada di bawah pelukan hangat hirom(selimut tebal) yang beratnya mencapai 8kg di atas tilam spring berhamparkan cadar eletrik yang dibeli secara pukal di Aqabah(lokasi bebas cukai di Jordan) sambil merenung screen telefon pintar dan bergilir bertukar-tukar pelbagai aplikasi media sosial yang terdapat di dalamnya. Keluarnya dia daripada pelukan hirom tadi hanyalah untuk melepaskan hajat atau mengisi perut memastikan lemaknya di paras selamat yang tidak akan menganggu hibernasi cara baru tersebut.

Tidak kurang ada yang memilih wasilah menghabiskan filem-filem yang telah dimuat turun menggunakan internet yang menawarkan pelbagai pakej murah tapi belum sempat dikhatamkan di tengah fasal tempoh hari. Tidak kurang juga ada yang akan ke luar mantiqoh untuk menziarahi kawan-kawan di serata mantiqoh dengan alasan merapatkan ukhuwwah. Tidak ketinggalan kalangan yang akan menyelam di lautan bundle mencari sweater, kasut atau apa-apa sahaja pakaian terutama berjenama yang boleh dibeli dengan harga murah, sekadar menambah koleksi dan bukanlah dibeli kerana ianya benar diperlukan.

Dan tidak mahu dicicirkan,  yang 'aktif, dengan taqwim yang telah disusun awal sesi akan melaksanakannya pelbagai program bagi memenuhkan taqwim tersebut di akhir-akhir sesi pentadbiran serta mencari tarikh untuk pelbagai macam mesyuarat dan induksi bagi menyelesaikan isu ummat. Paling zahir, ada yang memilih untuk mengupdate belog di kala 'study week' walhal di masa lain tiada pula semangat itu lahir. Ya salam.Dan pada akhirnya, kebanyakan akan mula 'study week' sebenar dua atau sehari sebelum imtihan masing-masing dan apa yang dihafal sedikit sahaja kekal sebaik sahaja kertas jawapan dihantar pada Doktor(Pensyarah).

Getir. Ya, memang menyeramkan dan menakutkan jika melihat situasi-sitausi di atas. Bukan calang-calang mahasiswa mampu hadapi musim 'study week' ini dengan baik. Tiada penafian yang ada kalangan yang betul-betul berjaya manfaatkan 'study week' ini dengan cemerlang, bahkan mungkin kalangan 'di atas' tadi hanya sedikit benar dibandingkan dengan kalangan 'di bawah' ini, dan moga tergolong dalam kalangan hamba yang bersyukur terutama dengan nikmat masa.(34:13). Harapnya.

Moga-moga penulis dan pembaca tergolong dalam kalangan 'di bawah'. Salam imtihan nihaie sahabat-sahabat Universiti Mu'tah khasnya dan seluruh Jordan.

.الله يوفقني ويوفقكم جميعا, آمين

Tak sangka dah dua tiga kali padam berjaya juga siap satu entry walau sekadar peringatan ringkas. tapi yang ringkas begini la kurang diihtimam(diambil berat). Dan tiadalah yang paling dekat dengan peringatan ini melainkan kepada yagn menulisnya. Sekian.

P/s: Bahasa nak formal sebab bercadang untuk kongsi di Fb entry kali ini. Ketaq!

No comments:

Post a Comment