Thursday 19 November 2015

Jumaat.

Setiap kali post nak sentuh pasal jarang update pun tak kena juga rasanya. Jadi kali ni saya akan teruskan kepada penulisan tanpa mengakui sifat pemalas dalam menulis. Sekian.



Hari ni hari Jumaat. Mereka yang kenal rapat dengan anak bongsu Haji Karim ni, mereka akan tahu yang hari Jumaat merupakan hari kegemaran dibandingkan dengan hari-hari lain. Susah kalau diminta berikan sebab yang kukuh bila orang tanya, "Dah kenapa suka sangat hari Jumaat?" Sedikit perjalan keindahan hari Jumaat di sisi Anokhaji.

1. Pada hari Jumaat, kedai runcit Haji Karim akan berehat selama sehari sebelum kembali sibuk di hari Sabtu. berehatnya kedai ini merupakan satu kelainan untuk sehari dalam seminggu kerana Haji Karim akan dapat berehat bersama isteri tercinta dan berkesempatan untuk melajakkan waktu bersembang selepas sarapan bersama anak-anak kesayangan dengan merungkai pelbagai isu.
Paling saya takkan berganjak dari kerusi(kecuali perlu melabur) ialah apabila Haji Karim membuka isu politik atau ceritanya di zaman muda. Cerita di zaman muda ni kadang-kadang mampu membuatkan Haji Karim menangis dalam ketawa sedu sedan menjadi syair cinta. Eh? macam ada melodi je baca tu. kah!

Sebelum terlupa, sarapan keluarga Haji Karim akan dimasak oleh Isteri tercinta Haji Karim dengan pelbagai menu setiap hari dan biasanya hari Jumaat akan dimasak menu yang saya kira istimewa seperti nasi minyak, nasi dagang, nasi khomok(rempah dari Kelantan), nasi kuning, nasi kunyit, laksam, laksa(selalunya disertai dengan ketiga-tiga jenis kuah, Laksa Terengganu, Laksa kuah masak, dan laksa Penang), dan kadang-kadang kuih bekang(bukan sedut darah pakai cawan tapi sejenis kuih yang sangat power dia punya sedap, disertai kuah putih yang masin dan kuah yang sedikit coklat yang manis). Tapi tak pernah lengkap tanpa teh cap Kapal Terbang yang dikacau dengan air yang mendidih dan dicampur susu pekat manis F&N Bervitamin yang selalunya untuk satu jag akan memakai 3/4 tin, dan gholibnya(baca: kebiasaan) akan ditarik sendiri oleh Anokhaji ke dalam cawan-cawan di dalam talam. Power gila rasa dia, ya Rabbi.

Tapi jujur, momen sembang selepas sarapan keluarga Haji Karim takkan pernah keluar daripada senarai perkara terindah terutamanya dalam hidup anak bongsu Haji Karim.(baca: Anokhaji)

2. Selepas sarapan, andai hari panas atau lebih tepat tidak hujan, isteri tercinta Haji Karim akan ke kebun kecil di halaman rumah untuk mencabut rumput atau menyapu sampah(lebih tepat dalam lahjah kami: gerrak sapoh) di halaman rumah kami. Peneman hidup Haji Karim ini memang sangat-sangat gemar akan aktiviti berkebun ni andai ada masa lapang. Tanam apa? Jika ikutkan pemerhatian saya, banyak jenis juga yang ditanam olehnya dan kebanyakkan daripada tanaman tersebut boleh digunapakai dalam masakan isteri Haji Karim yang akan dihidangkan kepada suami tercinta dan anak-anak lelaki yang kacak dan anak perempuan yang solehah. Ewah.

Dan aktiviti berkebun ini akan jadi lebih indah apabila ada rumput-rumput dan sabut kelapa kering dibakar dan menghasilkan asap yang sangat kena dengan suasana kampung mengikut perkiraan saya. Orang yang paling gemar akan asap seperti ini dalam keluarga Haji Karim tak lain merupakan anak bongsu beliau yang kini sedang menulis blog ini. Tapi kalau asap rokok kalau iman tak kuat boleh bawa ke maki secara zahir atau batin juga orang yang menghisap di tengah-tengah awam.

3. Momen indah Jumaat juga terisi dengan kemeriahan teratak indah keluarga Haji Karim dengan kehadiran anak dan menantu yang membawa cucu-cucu kepada atuknya, dan secara lahjah budunya, bising bangor denge anok wek la hari Jumaat tu.

4. Keindahan Hari Jumaat sedikit berakhir setelah tamatnya makan tengahari sejurus balik daripada masjid untuk solat Jumaat. Lebih tepat, indah dah tak jadi indah apabila sinetron Hidayah(atau nama lain saya tak berniat untuk ingat) yang diimport daripada negara seberang mula ditayangkan di kaca Tv3.

5. Dan keindahan bertukar kesedihan apabila melihat matahari terbenam di celah Bukit Maras yang betul-betul menghadap tingkap bilik saya. Terbenamnya bola bercahaya itu pada hari Jumaat seakan-seakan menenggelamkan sama keindahan di pagi harinya. Tapi doa saya, agar yang ditenggelamkan itu hanya kesedihan, kegeraman, dendam dan bau busuk serta perkara-perkara negatif lain.

Begitulah timeline kasar hari yang indah di sisi anak bongsu Haji Karim yang kacak dan soleh.
Kalian memang mantap kalau boleh baca sampai habis sebab benda ni saya sekadar tulis apa yang saya ingat sebab tulisan pagi ini untuk alihkan perhatian daripada situasi penuh konflik antara kehendak diri dan harapan orang yang mana saya tak rasakan harapan yang mereka letak itu 100%. Jadi lepas siap menulis ni, akan sambung fikir keputusan yang tebaik dan keputusan ni mungkin beri kesan pada perjalanan hidup saya. Bunyi macam serius benau yedak. Tapi benda ni tiada kaitan dengan baitul muslim dan sebagainya. benda tu jauh lagi, got a lot more things to finish before 'that'.

P/s: bagi yang tak sempat tangkap sape dia Haji Karim ni, beliau merupakan ayah kepada 8 orang anak yang berjaya dunia dan akhirat, insyaAllah. Dan Anokhaji merupakan salah seorang daripada 8 orang tu, walaupun belum berjaya lagi seperti 7 yang lain. Sekian tulisan pengalih perhatian.

No comments:

Post a Comment