Thursday 29 September 2016

Hakim bermimpi

Dalam satu sesi berborak sesama sepupu yang selalu benar bersua muka antara satu sama lain, Munirah yang sudah menginjak ke Tahun 3 di sebuah sekolah rendah swasta di sini membuka cerita tentang tidur dan bermimpi.

"Akak kalu mimpi sapa kadang dok sedor lasung. Kerek gok mimpi sambil jallang, Aboh sapa lempang dua tiga kali nok suruh sedor."

"Syamil lagi lah dik eh, berapa kali dok tahu jatuh katil nginga. Kadang-kadang sampai kencing-kencing kediri duk mimpi. Kak Zir wat mandi lalu dia pagi-pagi tu pukul empat dok pukul empat pun. Lepas mandi baru ye boleh celik mata," Bonda kepada Munirah tanpa diminta, menyambung membuka cerita anak keduanya yang juga adik kepada si Munirah, iaitu Syamil. Barangkali sudah naluri ibu, terkadang gemar menceritakan perihal anaknya tanpa ditanya.

Tiba giliran Hakim yang dari tadi asyik mendengar cerita sepupu sepapat dan ibu saudara sabitnya bercerita tentang mimpi, dia pula bercerita sambil mewarnakan gambar yang terdapat dalam buku mewarna hadiah oleh ibunya menggunakan pensel warna berjenama Luna:

"Semalam Hakim mimpi besor kekgi Hakim jadi pelukis terkenal. Pagi tadi bangun dari tidur, Hakim rasa macam nak cuba ‘kejar’ mimpi Hakim semalam biar satu hari kekgi mimpi tu jadi kenyataan."

Mulut Kak Zir sedikit terbuka, barangkali kaget  bercampur kagum dengan jawapan anak buahnya itu yang seolah difikir dan diucap oleh seorang yang sudah masuk ke alam universiti yang terperangkap dalam badan anak kecil. Bapa saudara kepada anak-anak tadi, yang sedang asyik melihat paparan di peranti mudah alih beliau tanpa lengah terus bingkas bangun dan mula berlari demi mengejar mimpinya sejurus mendengar cerita Hakim.

No comments:

Post a Comment