Wednesday 17 August 2016

Coret 5- Edisi Cuti Soifi

1. Gementar juga nak mulakan penulisan pertama di Malaysia ni, walaupun penulis sendiri tak jelas kenapa beliau gementar. Mungkin juga beliau sejenis manusia yang akan gementar untuk setiap perkara yang dihadapi buat kali pertama. 

2. Mendengarkan cerita sahabat-sahabat yang sudah pulang bercuti selepas fasal soifi(musim panas) pada tahun lepas, bahawa cuti selama sebulan ni kalau kau tiada apa-apa agenda atau kerja yang dah disusun atau dirancang sebelum cuti bermula, kau tetap akan bosan atau orang muda kini membahasakannya sebagai 'mereput'.

Hakikatnya, saya juga masih belum jelas berkenaan asal usul perkataan 'mereput' ni. Tapi tidak mengapa dengan ketidakjelasan itu kerna langka kekaburan menjarakkan kita daripada ketidakpuasan.

Apapun, setelah hampir seminggu di Malaysia, saya mengira bahawa situasi saya boleh dianggap 'akas daripada komen-komen tadi. Mana tidaknya, hari pertama tiba di 'sarang', terus masuk 'bertugas' di kedai milik ayahanda seolah terlupa yang saya sepatutnya berhadapan dengan kesan jetlag yang biasa dialami oleh mereka yang baru selesai ber’jalan’ jauh. Letih tersebut terluput sendiri tanpa usaha untuk mengikisnya. Barangkali khidmat tersebutlah menjadi menjadi penawar kepada kesan luka daripada dendam rindu yang mendalam kepada kedua orang tua setelah dua tahun tidak bersua muka secara berdepan lantaran rasa bimbang tidak sempat berkhidmat kepada mereka selama mereka masih bernyawa. Teringat saya kepada kuliah yang didengar berkenaan kata seorang ulama(maaf saya masih belum mencapai tahap sekali dengar terus melekat):

"Jasa seorang ayah kepada anak hanya dapat dibalas seandainya si anak membeli(membebaskan) ayahnya yang ditawan.”

(Hal ini demikian kerana ketika seseorang itu ditawan, hidupnya seolah sudah tamat walaupun masih bernafas kerana dia sudah tidak bebas menjalani hidup. Maka, dia seperti mendapat hidup kembali setelah dibebaskan. Seorang ayah pula menjadi asbab kepada kehidupan seorang anak. Kiranya macam tukaranlah. Faham tak ni?)

Jadi, masih adakah yang cuba mengaku khidmat kita yang seolah setitik  sudah cukup dalam membayar jasa mereka selautan? Mak minta tolong buang sampah masa kau layan Vines pun dah nak merungut, apa kejadah.

3. Pernahkah kalian terfikir bahawa tidak semua duit yang kita bayar adalah untuk apa yang kita rasa kita akan dapat secara zahir?

Contoh mudah, kita memilih untuk membayar tambang bas ke universiti sedangkan kita boleh berjalan kaki dengan jarak antara kediaman kita dan universiti.

Ya, tiada dapat dinafikan dengan berjalan kaki, selain mencergaskan dan menyihatkan jasmani kita, belanja kita untuk pecahan pengangkutan juga dapat dijimatkan. Tapi sedarkah, di sebalik kita berjalan kaki, sudah berapa minit masa emas kita terbuang untuk tiba ke rumah sedangkan jika kita menaiki bas sudah pasti masa yang diambil makin kurang. Ditambah lagi dengan penggunaan tenaga kudrat kita yang boleh disimpan untuk kerja yang lain di mana berjalan kaki sudah tentu lebih meletihkan daripada menaiki bas.

Kenapa contoh tambang bas ni woih?

Saya selesa menghidangkan situasi ini sebagai contoh kerana ianya merupakan satu realiti di tempat belajar saya di rantau sana, dan bukanlah tugas saya untuk memberikan contoh yang lebih dekat dengan pembaca yang entah wujud atau tidak membaca entry ini.

Jarak antara penempatan majoriti pelajar di sini tidaklah terlalu dekat dengan universiti, juga tidak kurang jauh (5 minit menaiki bas jika jalan tidak sesak teruk dan hampir 20 minit jika berjalan kaki). Bayaran yang dikenakan bagi setiap satu trip pergi balik ialah 40 qursh atau JD0.40 (kurang lebih RM2.20 jika ditukar ke dalam RM).

Seterusnya jika kita memilih untuk berjalan kaki secara penuh untuk satu fasal(semester), berapa minitkah yang perlu diperuntukkan daripada masa kita?

Kiraan kasar untuk satu semester seperti berikut:
30 minit(15 minit pergi dan balik) x 5 hari x 14 minggu = 2100 minit atau 35 jam.

Kiraan kasar tambang bas untuk satu semester(pergi dan balik):
JD0.40  x 5 hari x 14 minggu = JD28

Kiraan pada bahagian masa belum lagi ditambah dengan masa untuk berehat setelah penat berjalan yang menggunakan tenaga yang lebih jika dibandingkan dengan menaiki bas. Masa kita yang mahal dan tidak pernah cukup ini  dihabiskan lebih 35 jam dalam satu fasal untuk berjalan dan berehat sedangkan kita berhak memilih untuk menaiki bas dengan bayaran 40 qursh setiap hari.

Tapi bukanlah saya ini ingin menyalahkan sahabat-sahabat yang lebih gemar memilih untuk berjalan kaki kerana terdapat sebahagian daripada kita yang betul-betul kurang berkemampuan dan terpaksa memilih untuk memotong pecahan perbelanjaan untuk pengangkutan dan memilih berjalan kaki. Saya faham situasi tersebut, cuma…

Dah tu tulis buat apa? Siap buat pengiraan bagai?

Sabarlah sedara.

Saya menggambarkan situasi yang didatangkan sekali dengan pengiraannya ini hanyalah sebagai satu contoh mudah(bagi saya) untuk isi utama saya sebentar tadi bahawa kadang-kadang tika kita berbelanja membeli, memang ada perkara yang kita beli di mana zahirnya seolah kita sedang membayar kepada apa yang tak perlu, atau erti kata lain seolah kita sedang RUGI.

Dalam situasi bas ini, JD28 kita bayar untuk setiap fasal bagi pengangkutan ke universiti sedangkan kita larat dan punya kederat untuk berjalan kaki.

Kita merasakan seolah-olah apa gunanya membayar sehingga JD28 setiap semester untuk tambang bas ini? Kenapa perlu terus menjadi bangsa yang malas?

Amboi. Begini ceritanya, 40 qursh yang kita bayar bukan hanya untuk pengangkutan dari rumah ke universiti kemudian ke rumah kita, sedara. Tapi juga untuk masa kita yang sudah tentu lebih berharga daripada emas dan untuk menjimatkan kudrat kita yang juga tidak kurang berharga.

 Jadi, bagi yang memang tak pernah berjalan kaki, teruskan rutin kalian setelah membaca justifikasi mudah ini dalam kenapa kita perlu menaiki bas. Yakinlah, bahawa kita bukanlah sedang berboros atau membazir. Tapi, sekali dua untuk turun berjalan kaki saya kira bukanlah satu kerugian malah boleh jadi satu keuntungan pula kerana kalian merasai bagaimana berenang melawan arus kebiasaan sebelum kembali mengikut arus.

Dan bagi mereka yang kurang mampu, kalian punya hak dalam memilih sama ada untuk terus berjalan kaki. Saya pun pernah berjalan kaki sedangkan rumah sewa saya di sana tidaklah terlalu dekat jaraknya dengan universiti, tapi kekadang pelu juga kita lari dari kebiasaan, seperti saya nyatakan sebentar tadi. Tukar angin orang cakap. Atau kalian mungkin boleh menukar kepada pecahan peruntukan perbelanjaan yang lain untuk dipotong. Contoh mudah, pecahan untuk makanan. Takkanlah perlu kepada saya untuk menerangkan bagaimana butirannya hingga kalian berjaya berjimat dengan cara ini?

Saya kira saya sepertinya serius benar mengemukakan contoh ini seolah isu utamanya merupakan ‘Bas dan pembuangan waktu dan tenaga’ sedangkan contoh ini didatangkan hanyalah untuk memberi sedikit cahaya kepadaisi utamanya. Tapi tak mengapa, barulah tampak signifikan sedikit penulisan kali ini, yedak?

Tempoh hari, saya baru sahaja menyertai satu acara yang kalau mereka yang tidak faham akan terus mengatakan bahawa kami para peserta sedang rugi bahkan ditipu oleh penganjur, apatah lagi kami bukan hanya membayar yuran yang tinggi untuk masa yang sekejap tapi kami juga kononnya pulang bersama tanggungjawab pula. Dan tidak pula tanggungjawab itu ringan! Tapi disebabkan kami melihat lapis-lapis tersirat daripada bayaran tersebut, persoalan yang timbul daripada kami ialah: "Kenapa murah sangat bayar ni?", kerana kami faham, ada masa ketika kita membeli atau membayar untuk sesuatu, kita seolah-olah rugi pada lapis zahir yang awal tapi sangat beruntung pada lapis-lapis seterusnya.

Jangan kerana harga sesuatu itu mahal, timbul ralat di benak untuk berbelanja. Lihat apa yang kita akan dapat daripada belanja itu dan sering kali juga apa yang kita dapat itu tidak dapat dirasa mahupun dilihat tapi kita tahu kita memperolehinya.

Mungkin contoh lain untuk mereka yang ingin faham, seperti bagaimana Allah ‘membeli’ orang-orang yang beriman dengan  harta serta diri mereka sendiri.

Begitulah jadinya bila hidup ditafsirkan dan dilihat lapis-lapisnya yang kedua ketiga dan seterusnya.

Hidup kita ini terdiri daripada banyak lapis. Maka sangat perlu untuk kita terokai setiap lapis  tersebut tanpa alpa pada salah satunya.

4. Kita bertuah sebenarnya sekarang ini kerana sedang hidup menonton sejarah atau lebih tepat menonton kehebatan mereka yang bakal bergelar lagenda di satu masa kelak. Misalnya, dalam bidang sukan(kerana Olimpik masih belum tamat,) seperti Raja Pecut, Usain Bolt yang baru sahaja sekali lagi memenangi pingat emas bagi acara 100M Olimpik menjadikan ini kali ketiga beliau tidak dikalahkan dalam acara ini di Olimpik.

Seterusnya tentulah Aquaman dunia realiti iaitu perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps yang sudah memenangi 23 emas dalam penglibatannya di Olimpik sepanjang kariernya. What a human! Saya pula pernah mendapat pingat yang dibuat daripada plastik ketika menyertai acara sukan di sekolah dulu, tidaklah terlalu banyak hinggakan saya segan untuk menyatakan jumlahnya di sini.

Ini hanyalah dua nama di dalam bidang SUKAN sahaja,  yang saya sebutkan dan di sana masih banyak benar nama yang sedang mengukir sejarah zaman kita hidup ini untuk ditatap cucu cicit kita. Kalian kenal siapa mereka.

Olimpik kali ini juga menjadi  olimpik yang pertama negara kita Malaysia, melakar pencapaian melebihi dua pingat sepanjang sejarah penglibatan kita dalam temasya sukan terbesar ini. Takkanlah kalian rasa generasi mendatang tidak akan menoleh kembali melihat kehebatan pasukan Olimpik Malaysia pada tahun 2016 di Rio ini?

Waima kita juga sedang hidup menyaksikan sejarah dark age negara kita yang tidak perlulah saya senaraikan apa yang sedang kita sedang hadapi di sini, tapi tetap perlu bagi orang yang sedang hidup di atas lembar sejarah seperti kita ini, agar menikmati setiap detik. Jangan lupa apa yang kita sedang lalui sekarang! Walaupun tidak berjaya menjadi salah seorang lagenda yang dikenang, atau pelukis utama lukisan sejarah  untuk zaman kita, paling kurang kita berjaya membekalkan bara untuk menyalakan api kejayaan kepada  generasi selepas kita supaya tidak mengulangi sejarah kegagalan dan meneruskan kecemerlangan nenek moyang mereka sebagai manusia. 

Saya menulis pun dengan tujuan untuk melakar sejarah saya sendiri dengan harapan kita menghargai saat ini yang bakal menjadi sejarah satu hari nanti. Fuh, semangat dia lain macam ni!

Harap tiada yang spoil cakap kiamat dah dekat.
4. Sejak pulang bercuti ni rasa seperti masa ini seolah-olah tidak cukup. Maksudnya, sungguh-sungguh tak cukup. Yelah, mana nak berfamily bonding lagi, mana nak mengaji menelaah lagi, nak membaca menulis lagi, nak bersosial, nak mandi lagi. Fuh. Bak kata asy-Syahid Pak Hassan lah:

" الواجبات أكثر من الأوقات "

Jadi, susunlah elok-elok mana yang penting dan perlu selesai segera. Jangan tahu komplen dalam belog saja!

5. Bagi yang baru mula membaca AnokHaji ini, 'Coret' ialah satu cara bagi penulis menulis perkara-perkara yang kurang seriusnya atau kurang jelanya, apa-apa sahaja, dari sudut pandang penulis. Saya kira eloklag sebab saya manalah reti tulis barang-barang serius ni.
 

AnokHaji
Tanjung Gelam
1144, 16 Ogos 2016

No comments:

Post a Comment