Sunday 10 July 2016

Thalhah dan si Rembang

"Eh dia ni lagi." getus hati kecil Thalhah yang hampir setiap kali tamat kelas pada jam 1 tengahari akan berselilih dengan seorang sunti yang putih kemerahan pipinya saat ditimpa cahaya terik rembang matahari.

"Bidadari rembang." hati dalam Thalhah berkata ringkas. 

Semester musim bunga tahun ini berlalu pantas. Barangkali kerana kurangnya berkat masa di akhir zaman atau mungkin juga banyak masa dibuang oleh kita tika melayan permainan dunia yang seharusnya menjadi jambatan manusia di akhirat kelak. Mungkin, hakikat kita manusia ini memang lemah benar lantas sering hanyut dibawa arus deras masa dan cuma tersedar tika sudah hanyut hampir lemas, bagi yang beruntung. Namun bagi yang kurang beruntung, hanya sedar diri mereka telah hanyut saat sudah lemas.

"Jang, acu mari sini kejak tengok gambor hok Soleh upload dalam FB dia ni,"

Romizan malas-malas menuju ke arah Thalhah yang enak bersila di atas katil besi secondhand yang hampir runtuh itu.

"Ni eh, mung kenal ke dia ni? Aku ingat dia ni budok tahun 1, tapi dalam gambar Majlis Graduasi hok Soleh baru upload ni nampak dia duk pakai jubah graduasi. Pelik jugok la aku. Mung rajin tengok ke dia ni Jang?"


Thalhah bertanya dengan tujuan ingin mengetahui benarkah 'bidadari rembang' yang sering berselisih dengannya kadang-kadang sampai tiga hari seminggu itu benar wujud atau hanya dia sahaja yang merasai kewujudannya persis plot filem Mandarin, 'Secret' lakonan Jay Chou dan Kwai Lun-Mei itu. 

"Laa, masa kita angkat barang pindoh rumoh orang takdi ada je dia ni, dia duk tepi pintu beloh dalam. Mung dok perasang ke? Tapi nama dia aku dok kenal lah" Romizan menjawab tanpa syak.

"Ada sungguh la kiranya." sengih Thalhah menampakkan gigi kuningnya.

*********************************************************************************

Mata Thalhah melilau di sekitar kawasan bas sewa yang diparkir di hadapan bangunan tempat tinggal pelajar Malaysia, sambil memerhatikan gelagat pelajar-pelajar Malaysia yang menghantar sahabat-sahabat mereka yang akan pulang ke tanah air pada hari tersebut.

Hari itu, ada yang pulang dengan gelaran ijazah, ada juga yang pulang empat bulan sekadar bercuti dan melepaskan dendam rindu kepada keluarga tercinta di kampung halaman seperti salah seorang sahabat karib Thalhah. Kebiasaan di sini, pelajar-pelajar Malaysia ramai yang mengambil keputusan untuk takhorruj atau graduasi pada semester musim bunga, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Just nice, kata mereka.

Tanpa disedari, mata Thalhah sempat menangkap satu susuk yang seolah sering benar dia lihat.

"Eh macam kenal. Ish, balik harini ke dia?" Thalhah gelisah. Fikirannya sudah melayang sambil berdoa harap yang dia terpandang sebentar tadi bukan si Rembang yang dia masih belum kenal namanya.

Sejujurnya, Thalhah pun tak yakin apa sebab hatinya berdukacita kalau benar si Rembang itu yang pulang. Bukan itu saja, bahkan namanya pun Thalhah belum kenal sampaikan dia hanya menggelarnya si Rembang, kerana perjumpaan mereka hanya berlaku pada waktu rembang sebelum ini.

Selesai bersalaman dan berpelukan, tayar bas sewa pun bergerak ke destinasinya. Tanpa lengah, Thalhah pulang ke rumah dan terus memeriksa senarai nama yang pulang pada hari tersebut di grup FB komuniti mereka di situ kerana kebetulan memang person in charge(PIC)  pengangkutan pada hari tersebut memaklumkan tentang perjalanan mereka di situ.

"Sah! Memang dia doh la tadi.Tayar golek baru tahu nama, betullah takdir Tuhan ni,"
Thalhah  menggeleng beberapa kali sambil tersengih seperti kerang busuk.

Walau hanya dapat mengenali nama si Rembang itu setelah tayar yang membawanya ke lapangan terbang bergerak, Thalhah tetap puas, kerna baginya, cinta itu untuk bukan untuk memiliki tapi cukuplah dengan menghargai, walau dari jauh. Tanpa sedar, mulut Thalhah berbicara tentang cinta:

"Cinta yang sejati tidak perlu hubungi jasmani. Ia tumbuh dalam khayalan, kekal abadi selama-lamanya."


3 comments:

  1. Moga Thalhah dan si Rembang itu bahagia. Haha.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Setiap entry yang worth reading, may Allah bless. Teruskan menulis 'seposen dua' sampai jadi samah dan hinggit pula. Semoga takde kena bebel dengan si 'Khalid' sebab jarang update 😂

    ReplyDelete