Tuesday, 22 February 2022

Mencari Puisi

Hei Februari

Kau tahu aku penat sekali tempoh hari?

Bertanyakan kepada kanan dan kiri

di mana kiranya bolehku cari sepotong puisi?

Untuk aku beli dan hidangkan pada engkau

yang aku tahu sering mengidamkan diksi

Aku cuba mencari dan bertanya lagi,

tapi ternyata usahaku seakan serba tidak menjadi

Akhirnya aku putuskan untuk bertanya pada hati sendiri

tapi hatiku malah menjawab 

yang engkaulah sebenarnya puisi

yang aku cari,

dan diksi yang aku rindui. 

WK,
Mengabang Telipot, 21 Februari 2022.




P/s: Salam ulang tahun Bestie. Moga terus mekar dalam kabaikan dan keberkahan. ;) 




Thursday, 11 February 2021

Aku, Engkau dan Matahari

Kelmarin aku diarak pergi oleh kesedihan dan kegundahan untuk dilempar ke tanah senja.

Mereka memaksa aku untuk menangisi matahari terbenam

yang dikatakan sebagai batu nisan buat hari-hari kita yang sudah lepas dan tidak bakal kita ulang.

Tapi hari ini,

kau tampil lagak pejuang menghalau sedih supaya mundur, menghambat gundah supaya pergi,

dan memimpin tanganku untuk mensyukuri, hidup yang bukan abadi ini.

Kau juga hadir menawarkan diri untuk menemani aku dalam mengharungi,

gelap malam dan menunggu matahari fajar esok hari.

Kau berhasil buatkan aku kembali merasai hangatnya pelukan

Tuhan pencipta matahari.

Kau kemari kali ini,

dan mengajarku bagaimana untuk mencintai senja

dan mencintaimu sekali lagi. 


WK,
Mengabang Telipot, 11 Februari 2021.








P/s: khas buat PRS yang berdedikasi, terima kasih ;).

 

Friday, 27 November 2020

Tumbuh

Kehidupan sekali lagi menemukan kita di taman yang dulunya pernah kita sama-sama usahakan. Lama ditinggalkan sampai menyuburkan

dahan-dahan kesamaran dan kecelaruan. Aku mengajak kau menebas dahan-dahan itu.
Kau angguk setuju walau masih keliru. Kita lantas berjalan berpimpinan sambil mengerjakan semak dan dahan yang berjuntaian. "Kali ini yang tumbuh biarlah hanya keyakinan dan kepastian," Aku cadangkan, kau angguk perlahan. "Kalau boleh juga, kali ini biarlah taman ini subur dengan baja perasaan yang kita siramkan," Kau mengangguk lagi kali ini dengan senyuman. Tiba-tiba dan tanpa sedar, tumbuh satu tunas daripada jantungku. Eh aku nyaris lupa, senyumanmu itukan baja paling berkesan dalam menyuburkan tunas perasaan.
WK,
Mengabang Telipot, 1 Disember 2020.

P/s: Walaupun memang tidak cukup, tapi terima kasih buat engkau yang sentiasa hadir.

Monday, 24 July 2017

Musuh

Memang! Sentimental memang musuh yang paling ce***a.

Bau tanah yang kering kontang yang hanya setahun semusim disinggahi hujan, bau kedai roti yang dibuka seawal mentari masih ketiduran, aroma kopi Arab yang dibaluti bau falafel yang digoreng dalam minyak panas sepulang daripada Subuh yang kedua-duanya terhasil daripada Mat’am Zumir dan Maqha yang duduknya bersebelahan dan semua bau lain yang membunuh jiwa orang yang bersentimental dengan kenangan lama.

Memang! Sentimental memang musuh yang paling ce***a.

Mu’tah semakin hari semakin kosong dengan Melayu. Jalan-jalan ke tempat utama, bau persekitaran dan hiruk-pikuk pekan hanya membunuh jiwa mereka yang sentimental perlahan-perlahan dalam putaran kenangan. Menjadi pelajar tahun akhir yang sepatutnya paling tua pengalaman telah melukis realiti bahwa tidak ada lagi ‘abang-abang’ untuk memimpin tangan menunjukkan jalan, mengajarkan bahasa juga meriuhkan suasana.

Memang! Sentimental memang  musuh yang paling ce***a.

Kamu boleh bayangkan, hanya dengan bau-bauan yang tidak boleh dilihat apa lagi dipegang, mereka yang sentimental boleh sampai terhenti dan terbayang kenang-kenangan?

Ah! Memang, sentimental memang  musuh yang paling ce***a.

WK, 
Mu'tah, 24 Julai 2017
 .

Friday, 5 May 2017

Beranda

Kelmarin, saat senja berserak bangga
kita nikmatinya di beranda
seraya menghitung bersama detik suria
beradu menutup mata.

Tetapi hari ini senja hanyalah masa
buat jemariku terluka
akibat mengangkat kutip keping-keping
lara kegelisahan dan kemurungan
yang terkecai lantaran kau yang memilih untuk mengungsi dan pergi.

WK,
Mu'tah, 5 Mei 2017.



P/s: Esok bakal bermula peperiksaan akhir semester musim bunga. Doakan!

Wednesday, 26 April 2017

2 Kemungkinan

Petang atau lebih tepat aku sebut sebagai waktu senja aku sekarang lebih kerap diisi dengan dengan menonton pementasan  terakhir daripada cik Suria yang ditekuni olehnya saban hari, dengan gaya berlainan, tanpa hadir jemu!

Saturday, 11 February 2017

Bila kebimbangan kau sudah memuncak benar dan kau hanya ada Tuhan sebagai tempat meletakkan harap, doa-doa yang dibacakan tidak lagi kedengaran suaranya. Hanya bising di dalam hati, ditemani air mata dan diisi harapan.

Hari ini satu lagi mesej masuk di grup daripada kakak yang sulung, menyatakan bahawa setelah  diperiksa oleh Doktor, ibu kami dikatakan terkena penyakit saraf kesan daripada jatuh sakit beberapa minggu lepas. Tapi segala puji bagi Tuhan yang penuh Rahmat, kesan sakit saraf itu hanya terkesan di bahagian muka dan bukannya seluruh badan.

Hati yang masih lagi belum kering dengan kesedihan ini kembali banjir. Saya lebih memilih untuk meluahkan di laman blog ini dengan harapan para pembacanya walaupun hanya satu atau dua orang, mendoakan kesembuhan bagi ibu saya yang saya sangat kasih dan rahmat bagi ibu bapa kita semua. Moga doa kalian yang lebih ikhlas dan dekat dengan Tuhan dimakbulkan.

اللهم يشفيها شفاء عاجلا واللهم ارحم والدينا أجمعين. آمين

Jazakumullah Khoir.