Tuesday 8 March 2022

Kurung

"The world went and got itself in a big damn hurry." Brooks Hatlen

Benar, dikurung walaupun bukan dalam penjara buatkan aku terfikir seperti pakcik Brooks ni.


Tempoh beberapa hari berkurung berikan beberapa perkara untuk timbul di fikiran jadi aku ambil keputusan luahkannya di sini. Ditambah pula aku risau otak aku disogok dengan keinginan untuk menatap media sosial berterusan. 

Satunya, bila kita ditimpa musibah atau ujian, kena belajar menjadikan respon pertama kita untuk bertenang. Kita sudah pernah diuji sebelum ini, dan setiap kali itu kita dijerut risau tapi tetap, kita masih ada sekarang kan? Ingat, yang tak membunuhmu buatmu kebal sehari lagi. 

Sebagai tambahan, pegang sahaja ayat 22 dan 23 dalam surah al-Hadid. Ya, sama-sama.

Kedua, syukurilah apa jua yang kita miliki sekarang. Ya apa sahaja, walaupun kita belum belajar menyukainya. Syukurinya dengan tidak terlalu mencari yang kita rasa lebih baik.

Bunyi klise tapi kita sering tak sedar apa yang kita ada sampai kita hilang benda tu. Aku pun masih belajar dalam bab ini tapi kalau boleh aku tak mahu kita pelajarinya dengan cara yang terpaksa(or learn it in a hard way to put it) satu hari nanti. 

Ketiga, aku ingin kongsikan nasihat Jim Rohn tentang masa. Kita takkan dapat lebih masa daripada orang lain tapi bezanya, kita boleh tambahkan nilai pada masa kita. Aku cuba terapkan tempoh hari ketika berkurung, memang interaksi aku dan keluarga sangat terbatas jadi aku cuba mencari ruang dan peluang yang boleh untuk mengambil tahu cerita harian. Kuantiti seringkali mengurangkan kualiti, kan?

Akhirnya, aku sebenarnya merindui zaman belajar atau lebih tepat zaman aku tak malu berkongsi tulisan walaupun tidak ketahuan apa yang ingin disampaikan masa itu. Sebaliknya, sekarang ketika mempunyai banyak perkara yang ingin dikongsi, tapi akhirnya idea itu hilang dihakis masa yang semakin hari semakin laju mengalir dan menghanyutkan kita bersama.  

Aku tak tahu bagaimana kalian boleh tersesat dan apa yang kalian cari di laman ini, tapi terima kasih kerana sudi, dan sampai ketemu lagi nanti. 

P/s: Ya betul, aku juga tertewas dengan pemenang Anugerah Sakit Paling Digeruni 20-22 tempoh hari. Alhamdulillah tidak apa-apa dan sudah kembali sembuh. 


 

No comments:

Post a Comment